11 Februari 2011

NASIHAT DIRI

السلام عليكم ورحمة الله
Semoga Allah yang Maha Agung mengurniakan kepada kita keberanian untuk mengenali diri kita sendiri.,kerana ternyata kita lebih sering hidup dengan kesibukan dan olah diri sendiri. Kita ingin dilihat oleh orang lain lebih dari kenyataan sebenarnya.Dan ini menjadi satu penyiksaan tersendiri dalam hidup kita. Kita ingin kelihatan lebih elit,lebih hebat,tetapi penampilan sebenarnya jauh dari kemampuan kita . Pinjam sana pinjam sini semata-mata kerana kita mahu kelihatan lebih kaya. Jarang kita mahu kalah dengan orang lain dari aspek memiliki sesuatu. Malah kadang-kadang terpaksa mengumpul perhiasan-perhiasan palsu dari jenama-jenama terkenal.Semata-mata untuk dilihat bahawa kita lebih bergaya untuk menjaga nama dan dihormati kononya. Tetapi kita lupa bahawa semuanya itu adalah satu penipuan secara tersembunyi. Memang kadang-kadang bila kita melihat telatah ini sangat lucu dan kelakar. Ini bererti nilai diri kita lebih rendah dari jenama-jenama tersebut kerana kita merasakan diri kita terangkat dan dihormati kerana kosmetik ini.



Berbeza dengan orang yang berkeperibadian baik. Mereka tidak perlu bersembunyi disebalik jenama-jenama tersebut kerana dirinya lebih baik dari jenama-jenama itu. Adakalanya kita ingin dinilai lebih pandai sehingga kita mempamerkan ilmu pengetahuan kita dengan menambah-nambah dan menjawab beraneka soalan supaya nampak kita lebih cerdas, pintar dan mampu menjawab dari orang lain.. Tidak jarang jika orang memberi komen pada sesuatu perkara ,kita menilai komen itu secara ilmiah,sebaliknya kita sama-sama terperangkap turut memberi komen pada hal kita tidak tahu hal sebenar. Hal ini semua adalah sebahagian perkara yang menyebabkan diri kita tersiksa. Aneh memang kerana kita terpaksa berhempas pulas untuk kelihatan pandai, pada hal perlakuan kita ini tidak memperlihatkan kepandaian kita tetapi apa yang harus kita lakukan ialah belajar terus menerus dan jangan takut untuk mengaku kita tidak tahu. Kadang-kadang kita takut dianggap bodoh sedangkan kenyatanya memang kita tidak pandai. Sebetulnya lebih baik kita dianggap bodoh daripada dianggap pandai kerana jika kita dianggap pandai kita akan bertambah sengsara dengan orang akan selalu bertanya kepada kita .

Saudaraku yang sangat dihormati,

Keberanian kita untuk hadir seadanya adalah senjata yang paling ampuh dan kunci untuk kita hidup bahagia. Alkisah ada sebahagian kita suka menunjuk-nunjuk dan terikut ikut dengan tren semasa. Misalnya tidak mau kalah dengan jiran,kawan atau siapa saja. Dari soal yang kecil hingga perkara-perkara yang besar .Kita harus ada keberanian untuk tampil seadanya. Budaya seperti ini sepatutnya tidak perlu ada dalam diri kita. Tidak usah kita menyiksa diri dengan mengada-adakan yang tidak mampu kita adakan. ,semata-mata untuk kelihatan hebat dan kuat. Kekuatan kita bukan dilihat dari penampilan dan pujian orang. Kekuatan hakiki kita adalah keberanian kita untuk terus menerus jujur pada diri sendiiri dan terus menerus meningkatkan keupayan diri. Terserah orang menilai bagaimana ,yang penting kita terus melakukan yang terbaik untuk diri dan juga orang lain. Kita jarang menegur diri kita sendiri supaya kita berubah. Kita mengharap orang lain berubah tetapi kita sama saja. Kita mengharap orang lain baik pada kita, tapi kenyataanya kita selalu prasangka buruk kepada mereka. Ha! kalau begini apa mungkin berlaku keajaiban. Kita saban hari mahu anak kita belajar dan berjaya, tapi ternyata kita liat untuk dekat dalam majlis ilmu. Pengajian di masjid atau surau kita tak hadir. Ha! sekali lagi apa mungkin harapan kita mahu anak mau belajar tercapai kalau kita sendiri jauh dari ilmu.

Mendidik anak bukanlah perkara mudah. Ia perlu pengorbanan. Kita semua ada anak yang sedang membesar dan sangat memerlukan perhatian. Alangkah bahagianya seorang ibu atau bapa melihat kejayaan anak-anaknya. Kita ambil ikhtibar dalam hal ini. Banyak contoh yang boleh kita sama-sama lihat. Kita semak anak sipolan yang berjaya dalam menampilkan akhlak baik dan kejayaan pelajaranya. Bagaimana suasana keluargnya,bagaimana watak dan akhlak ibu bapanya. Sama-samalah kita insafi hal ini. Mungkin hati kecil kita boleh berkata. Saya sudah berusaha tapi sama sahaja. Soalnya sekarang apakah usaha kita sudah seimbang? Maksudnya soal usaha dan tawaqal? Apakah kita sudah menimbang peranan agama dalam menentukan kejayaan kita? Sekali lagi marilah sama-sama kita teliti dan insafi hal ini.

Saudara ku sekalian,

Sebagai seorang yang mengaku muslim kita wajib berusaha memastikan hidup kita didepan lebih baik dari yang sedang kita jalani sekarang, agar kita digolongkan dalam kumpulan hamba Allah yang beruntung. Sebagai kesimpulan marilah kita sama renungkan apa yang sudah Allah amanahkan kepada kita dan keluarga kita. Pertama, Seharusnya kalau kita mengaku kita berilmu, buktikan bahawa hidup kita akan bertambah berdaya maju .Gunakan ilmu yang Allah titipkan kepada kita untuk mengorak langkah melakukan kebaikan dan kejayaan. Sementara kalau kita rasakan kita masih kurang ilmu maka usahakan untuk belajar. Kedua, kalau kita berharta,seharusnya hidup kita menjadi lebih berdaya-guna. Keupayaan/kemampuan yang kita miliki pastinya dapat memberi kesejahteraan kepada diri dan keluarga, masyarakat jangan dilupa. kerana masyarakat yang sejahtera akan sama-sama menjaga kesejahteraan kita juga. Sesunguhnya harta dari rezeki yang kita terima sebenarnya bukan hak mutlak diri kita. Marilah kita sekali lagi menyedarinya bahawa rezeki dan harta hanya titipan Allah untuk kita berikan dan agihkan kepada pemiliknya. Ketiga, hal ini sering kita lupa. Kita selalu berkata soal cinta tetapi jarang antara kita boleh membuktikan hakikkatnya.Ya dasar cinta adalah kasih sayang. Justru itu kalau ada dalam hati kita rasa cinta, seharusnya hidup kita akan bertambah kasih dan sayang. Keluarga hidup harmoni dan saling hormat menghormati. Hati dan perlakuan sentiasa seiring dan senada. Kejujuran menjadi amalan, InsaAllah hidup lebih bahagia.Itulah sebenarnya hakikat cinta. Saudaraku yang dikasihi,

Jika hidup mampu kita pacu dengan ilmu,harta membawa kita lebih berguna dan cinta membawa kita lebih bahagia. Apa lagi yang akan kita sandarkan untuk kita beroleh ketenangan? Sesungguhnya yakinlah kalau kita merasakan berjaya,kita berharta dan bahagia tanpa iman ia tidak akan kekal. Oleh itu marilah kita sama-sama perkukuhkan iman kita. Sekali lagi marilah kita yakini dengan iman yang ada pada kita akan menjadikan hidup kita lebih tenang dan aman.

Saudaraku yang dihormati,
Ilmu,harta, cinta dan iman sebenarnya sudah ada pada diri kita semua. Cuma berapa banyak yang kita miliki hanya kita sahja yang tahu. Maka itu marilah kita jujur pada diri sendiri. Kalau difikikrkan sudah mencukupi marilah kita bersyukur dengan apa yang ada.Kerana Allah telah berjanji jika kita bersyukur dengan nikmat yang Allah kurniakan kepada kita, pasti Allah akan tambah dengan rezeki yang tidak terbatas. Sebaliknya jika kita merasakan masih kurang carilah ruang untuk menambah ilmu, berusahalah dengan lebih kuat dan jujur, lupakanlah sengketa damaikan dengan cinta dan kasih sayang. Dan akhirnya ikatlah semuanya itu dengan iman.

Saudaraku yang dihormati,
Dalam membesarkan anak-anak lihatlah dalam diri mereka diri kita. Pandanglah diri kita dalam segala perbuatan dan tingkah laku mereka. Pelajarilah akan lebih dan kurang mereka. Sesungguhnya ibu bapa adalah cermin mereka. Dan kita adalah guru yang paling berpengaruh kepada anak-anak. Oleh itu perbaikilah diri kita demi kesejahteraan keturunan kita.

Tiada ulasan: